FAKULTI PEMIKIRAN


Permikiran yang pelbagai menyebabkan sesuatu meeting menjadi tegang dengan perbalahan mempertahankan hujah masing-masing. Seseorang yang mempunyai pemikiran yang kritikal dan sering berjaya mempertahankan hujah dianggap sebagai seorang yang hebat. Disamping itu terdapat juga golongan yang menyepi tidak mahu menyuarakan pandangan yang difikirkan kerana mungkin takut salah . Kepelbagaian corak pemikiran yang wujud sering dipandang remeh oleh sesetengah pihak sehinggakan keindahan berbeza pendapat tidak dapat diadaptasi sebagai satu kekuatan untuk menyelesaikan masalah.


Islam mengiktiraf akal dan pemikiran sebagai elemen penting dalam pembinaan kelangsungan kehidupan manusia. Pembinaan tamadun sesuatu umat adalah berasaskan kepada kekuatan akal fikiran. Al -Quran menggesa umat islam agar memaksimumkan akal dalam menggurus kehidupan seharian. Dalam konteks pola pemkiran yang dianjurkan dalam al - Quran ternyata mempunyai beberapa sistem dan kaedah. Perbezaan corak pemikiran ini mempunyai hubungan secara langsung dengan peristiwa dan tujuan pemikiran tersebut. Antara bentuk- bentuk pemikiran yang diklasifikasikan didalam al-Quran:

1.PEMIKIRAN BERSIFAT INKUISIF adalah merujuk kepada satu bentuk persoalan yang dikemukakan semata-mata ingin mengetahui sesuatu perkara. Pendekatan ini dalam konteks pembelajaran adalah suatu yang baik, khususnya untuk mempertajamkan minda. Ini kerana pemikiran sebegini akan membawa kepada penemuan pemikiran dan konsep baru.

2.PEMIKIRAN SECARA PROVOKATIF ini dapat ditemui dengan banyak dalam al-Quran. Persoalan yang dikemukakan untuk pelbagai tujuan. Kadang-kala al-Quran t idak memberi apa-apa jawapan terhadap sesuatu persoalan. Adapun persoalan yang tidak disertakan dengan jawapan adalah bertujuan agar manusia dapat berfikir.

3.PEMIKIRAN BERSIFAT OBJEKTIF adalah merujuk kepada pernyataan atau hujah yang disertai dengan bukti. Contoh ayat yang merujuk kepada pemikiran objektif :

a. Tunjukkan bukti kebenaranmu jika kamu adalah orang yang benar.(al-Baqarah,11)

b.Apakah mereka mengambil tuhan-tuhan selain-Nya? Katakanlah: datangkanlah hujah-hujahmu. (Al- Quran ini adalah peringatan bagi orang-orang yang bersamaku, dan peringatan bagi orang-orang yang sebelumku.(al- Anbiyaa’,24)

4.PEMIKIRAN BERSIFAT POSITIF pula merujuk kepada pembentukan sikap yang positif dan berkeyakinan tinggi. Bentuk pemikiran ini banyak terdapat didalam al-Quran dan merujuk kepada beberapa persoalan atau tema tidak berputus asa dari rahmat Allah s.w.t.

a. katakanlah: hai hamba-hambaku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.(al-Zumar,53)

5.PEMIKIRAN BERSIFAT HIPOTITIKAL adalah bertujuan untuk meningkatkan minda manusia. Dalam hal ini al-Quran mendedahkan maklumat mengenai kebenaran agar umat islam menjadi muslim yang komited. Umpamanya ayat yang berikut yang bermaksud:

a. Apakah mereka diciptakan tanpa sesuatupun ataukah mereka yang menciptakan(diri mereka sendiri). Ataukah mereka telah menciptakan langit dan bumi itu?; sebenarnya mereka tidak meyakini (apa yang mereka katakan).(at-Thuur,35-36)

Ayat tersebut menolak hujah golongan kafir yang engkar dan enggan menyembah kepada Allah s.w.t. dengan menggunakan pemikiran hipotitikal, ayat ini jelas mencabar golongan kafir agar menyediakan hujah terhadap persoalan siapakan yang menciptakan diri mereka serta langit dan bumi.

6. pendekatan PEMIKIRAN RASIONAL dengan jelas mencabar pemikiran umat islam agar mengoptimumkan kekuatan minda dalam menyelesaikan persoalan-persoalan semasa serta mendapatkan kebenaran. Secara epistimologi pemikiran rasional dapat dirujuk sebagai ( William Little, t.th.):

…having the faculty of reasoning, endowed with the reason, exercising one’s reason in a proper manner, and having sound judgment. It also mans agreeable to reason, not foolish, absurd and extravagant.

Pemikiran rasional menekankan kepada pembuktian dan penjelasan bagi sesuatu perkara. Pemikiran sebegini tidak dapat menerima pandangan atau teori yang hanya berasaskan kepada andaian atau tanggapan yang tidak bertolak dari data yang dipertanggungjawabkan.Dalam al-Quran menggunakan ayat yang berbentuk rasional bagi membuktikan tiga pekara berikut:

a. membuktikan kewujudan Allah s.w.t. KeesaanNya, sifat-sifatNya dan tuntutan hanya menyembah kepada Allah s.w.t (al-Anbiyaa, 22; al-Mu’minun:91);

b. membuktikan mengenai kebenaran Hari pembalasan (Yasin ,77-79);

c. menangkis keraguan mereka –mereka yang menafikan kewujudan Allah s.w.t, hari akhirat dan kekeliruan yang ditimbulkan (at-Thur,35-36).

7.PEMIKIRAN VISUAL adalah merujuk kepada keupayaan untuk berfikir dan berkomunikasi melalui imej. Berasas kepada pendekatan ini , al-quran membawa minda manusia untuk berfikir mengenai syurga, neraka dan pelbagai fenomena yang berbeza ketika di hari pembalasan. Ayat yang menjurus kepada bentuk pemikiran sebegini adalah seperti firman Allah s.w.t yang bermaksud:

a. Hai manusia, bertaqwalah kepada tuhanmu; sesungguhnya kegoncangan hari kiamat itu adalah suatu kejadian yang sangat besar(dahsyat ).(ingatlah) pada hari ini (ketika) kamu melihat kegoncangan itu, lalailah semua wanita yang menyusui anaknya dari anak yang disusukannya dan gugurlah kandungan segala wanita yang hamil, dan kamu lihat manusia dalam keadaan mabuk, padahal sebenarnya mereka tidak mabuk, akan tetapi azab Allah itu sangat keras.(al-Hajj,1-2).

Demikian beberapa contoh bentuk pemikiran yang dapat dikesan didalam al-Quran. Variasi pola pemikiran perlu diadun dan dicanai sebaiknya dalam kehidupan umat islam agar ia mampu meningkatkan keupayaan umat untuk membina tamadun islam yang telah lama malap dek kerana kelemahan umatnya sendiri.

0 comments: